Wednesday, 24 April 2013

Kemahiran Menjamin Kehidupan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Lim Key Teong, 43, berpegang kepada falsafah yang menjadi amalan orang tua dan nenek moyangnya iaitu orang yang mempunyai kemahiran akan terjamin kehidupannya sampai bila-bila.

Anak kelahiran Kulim, Kedah ini akur dengan kesusahan keluarganya, justeru, dia bertekad untuk bekerja pada usia yang masih muda supaya dapat meringankan beban orang tuanya.

Apabila orang tuanya membuat keputusan berpindah ke Kuala Lumpur, Lim juga ikut bersama. Dia mahu mencari kerja walaupun mungkin terpaksa membanting tulang demi meringankan kesusahan keluarganya.

Ayahnya menjaja makanan di Jalan Klang Lama untuk menyara keluarganya.

"Hidup kami susah jadi saya fikir kenapa tak keluar cari duit sendiri. Tak perlu susahkan emak dan ayah lagi," kata Lim, anak kedua daripada tiga beradik.

Lim yang hanya bersekolah setakat tingkatan lima mencuba nasib di beberapa tempat termasuk bekerja di kedai perabot dan menjual peti sejuk, sebelum menjadikan bengkel membaiki kereta sebagai tapak untuk menimba pengalaman dan kemahiran.

PENGALAMAN KERJA

Meskipun bekerja dalam keadaan tidak selesa dengan tangan yang sentiasa kotor berlumuran minyak hitam dan sering dimarahi majikan, namun semuanya ini tidak mematahkan semangat Lim.

"Dulu kerja banyak susah, hari-hari kena marah. Tak ada orang nak ajar, kena belajar sendiri, tengok orang buat kerja dan kena banyak bertanya.

"Saya pernah kerja di lima bengkel. Ada tempat saya kena pandai ambil hati bos. Beli makanan untuk dia, baru dia nak ajar.

"Walaupun orang kata kerja ini kotor, tapi kerja di bengkel, kerja sebagai mekanik ini sesuai untuk saya," Lim berkongsi pengalamannya dengan penulis.

Sesi temu bual dibuat di bengkelnya terletak di No 21, Jalan PJS 1/21A, Petaling Utama di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

Bekerja di lima bengkel membaiki kereta memberikan Lim begitu banyak pengalaman dan dapat meningkatkan kemahirannya dalam selok-belok membaiki kereta.

Bermula dengan gaji hanya RM280 (makan dan rumah ditanggung) sebagai perantis mekanik, gaji terakhir Lim selepas 20 tahun bekerja di bengkel kereta ialah sekitar RM4,000 sebagai pengurus bengkel.

BENGKEL SENDIRI

Setelah 20 tahun bekerja untuk orang, Lim mengorak langkah menjalankan perniagaan bengkel sendiri membaiki kereta.

"Dalam bisnes kena cubalah. Kena hadapi cabaran, kena cabar diri sendiri.

"Saya memilih untuk buka bengkel kereta di Jalan Klang Lama kerana saya sudah lama bekerja di sini dan tinggal pun di sini," kata Lim apabila ditanya apa yang mendorongkannya membuka bengkel kereta.

Pengalaman bekerja sekian lama di bengkel kereta memberi kelebihan kepada Lim daripada segi pelanggan.

Ada pelanggan yang pernah mengguna khidmatnya sewaktu bekerja di bengkel dahulu bertukar menghantar kereta mereka ke bengkel milik Lim.

"Dalam tangan ada kira-kira 200 pelanggan. Kalau tak ada 200, tak boleh buat bisnes bengkel membaiki kereta. Kalau nak selesa, mesti ada 500 pelanggan," katanya.

Meski pun sudah menjadi boss, Lim tidak mahu duduk diam dan menyerahkan bulat-bulat urusan servis dan membaiki kereta kepada dua orang pekerjanya. Mesti "hands on!" kata Lim kepada penulis.

PROGRAM ATOM

Setelah kira-kira empat tahun menjalankan perniagaan membaiki kereta dan untuk memastikan perniagaannya boleh berkembang lebih maju, Lim mengorak langkah memohon mendapatkan bantuan kerajaan.

Menurut Lim, bantuan itu diperlukan supaya dia dapat memberi perkhidmatan yang lebih pantas dan cekap kepada pelanggan.

"Setelah empat tahun, bisnes saya sudah stabil sedikit dan saya mahu kembangkan bisnes ini. Saya perlukan bantuan kewangan," kata Lim.

Bantuan yang akhirnya beliau peroleh ialah program Pemodenan Bengkel Automotif atau singkatannya ATOM, di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Program ATOM adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk memberi imej baharu kepada industri membaiki automotif di samping sebagai pemangkin untuk meningkatkan pendapatan pengusaha bengkel.

Ia secara tidak langsung dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Mereka yang memperoleh bantuan ATOM boleh mendapat pinjaman maksimum RM100,000 yang boleh dibayar balik dalam tempoh sehingga 15 tahun.

Mereka boleh melayari laman sesawang kementerian www.kpdnkk.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

KURANG YAKIN

Lim memberitahu penulis, beliau pada mulanya agak skeptikal memohon bantuan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan bengkel keretanya.

"Bukan saya sahaja. Kebanyakan kawan saya juga beranggapan demikian. Mereka anggap program kerajaan hanya untuk orang Melayu sahaja.

"Apabila saya dapat bantuan ATOM pada Februari tahun ini, saya sudah yakin dengan komitmen kerajaan untuk bantu semua kaum. Bila saya dapat bantuan, kawan-kawan saya mula yakin dan mereka juga mahu memohon," demikian kata Lim.

Lim memperoleh pinjaman RM100,000 melalui ATOM yang disalurkan menerusi Bank Rakyat.

Sebahagian besar pinjaman itu digunakan untuk membeli beberapa kelengkapan termasuk set 'diagnostic scanner' yang dapat memeriksa keadaan sesebuah kereta dengan lebih cekap.

"Sebanyak RM60,000 digunakan untuk membeli kelengkapan kerana bengkel saya memang kurang kelengkapan. Wang yang lain untuk beli alat ganti dan minyak pelincir.

"Saya ada buat pengubahsuaian untuk bengkel ini termasuk bilik kecil sebagai pejabat.

"Saya dapat sistem komputer antaranya untuk saya simpan data pelanggan saya. Isteri saya, Chew Yok Wa tolong saya dalam soal pentadbiran.

"Sistem ini bagus sebab saya boleh semak senarai pelanggan dan ingatkan bila mereka perlu untuk datang dan servis kereta. Dulu semua maklumat tulis atas kertas dan tampal di dinding," kata Lim.

MAKIN MAJU

Lim mengakui bengkelnya semakin nampak kemas selepas dibuat pengubahsuaian menerusi bantuan kewangan ATOM.

Meskipun dia hanya mendapat bantuan ATOM kira-kira dua bulan lepas, bisnes membaiki keretanya kini semakin meningkat.

"Jualan sudah naik kerana saya boleh ambil lebih banyak kereta untuk diservis kerana ada kelengkapan yang diperlukan.

"Pelanggan lebih yakin dengan kemampuan bengkel saya. Sebelum ATOM, sebelum saya ada kelengkapan yang cukup, pelanggan yang datang akan tanya boleh kaotim ke? bertanyakan bolehkah saya buat kerja.

"Ada kalanya saya terpaksa pinjam kelengkapan yang saya tak ada. Ini semua melambatkan kerja. Kalau dulu mereka telefon saya tanya bila boleh ambil kereta, sekarang saya yang telefon tanya bila mereka mahu ambil kereta," jelas Lim.

Menurut beliau, pendapatannya kini meningkat sekitar 20 peratus dan yakin ia boleh meningkat 20 peratus lagi menjelang akhir tahun ini.

NASIHAT

Lim sememangnya sudah melalui banyak pengalaman dalam menjalankan perniagaan membaiki kereta ini.

Beliau menghabiskan banyak masa mudanya di bengkel dan terpaksa melalui pelbagai kesusahan sehinggakan dia tidak mahu anaknya (seorang lelaki dan seorang perempuan) mengikut jejak langkahnya.

"Biarlah mereka buat kerja lain," kata Lim.

Bagaimanapun untuk mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan bengkel membaiki kereta termasuk anak muda, Lim memberi beberapa nasihat.

Menurut beliau, mereka perlu bekerja dulu di bengkel untuk mendapatkan pengalaman dan kemahiran.

"Kalau nak harapkan mekanik buat kerja dan bila dia tak ada, siapa yang nak buat?

"Mesti bersedia untuk kerja tak mengira masa. Saya perhatikan anak muda cepat bosan dan banyak mengeluh kalau kita suruh buat kerja.

"Waktu saya dulu kita kerja kuat sebab takut kalau tak ada kerja tak dapat makan. Budak-budak sekarang tak kisah. Mereka pentingkan hiburan dan manja," kata Lim.

Menurut Lim, perniagaan bengkel kereta mempunyai banyak persaingan dan mereka yang mahu menjalankan perniagaan ini mesti yakin dengan kemampuan diri sendiri.

"Di lokasi bengkel saya di Jalan Klang Lama ini memang banyak bengkel memmbaiki kereta tapi saya buka bengkel di sini sebab saya yakin dengan kemampuan saya.

"Pengalaman 20 tahun banyak bantu saya," kata Lim.

Lim berpesan mereka yang mahu membuka bengkel membaiki kereta juga perlu profesional, perlu mempunyai sistem dan mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Bengkel perlu ada kelengkapan yang cekap yang dapat menyakinkan pelanggan.

"Mesti jujur. Hanya baiki dan ganti apa yang diperlukan. Jangan sekali-kali tipu dan pastikan servis yang berkualiti," pesan Lim mengakhiri perbualan.

Sumber:BERNAMA

No comments: